Tuesday, April 27, 2010

perlukah Tasawuf di zaman ini?

Perlukah Tasawuf di Zaman ini?
Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi (SIRI 1)



Imbangan dan Perlumbaan Islah
Dalam pada rakyat negeri kita ini bersiap-siap sibuk berlumba-lumba berjuang dalam lapangan kebendaan atau keduniaan untuk hidup dan kehidupannya mengikuti bermacam-macam faham dalam aliran isme dan kepercayaan. Ada di antaranya yang terpesung, ada yang semakin menjauh dan memutuskan dirinya daripada keakhiratan dan Tuhan, berlawan dan akan merusakkan, meruntuhkan rukun dan sendi-sendi hidup bangsa Melayu dan umat Islam negeri ini seperti rusak susu dititik nila, rusak kain di makan gegat dalam suasana masyarakat umat Islam.

Hari ini keluarlah ketengah-tengah masyarakat menumpu ke dewan bandaran ini golongan orang-orang yang terkenal dengan ‘tak sukakan dunia’ iaitu ahli ibadah daripada ahli altariq alsufiah, bangun dari tikar sembahyang dan keluar dari pondok2, rumah2 khalwahnya dengan niat dan tujuan memberikan tenaga baru dalam pembangunan jiwa suci di negeri ini supaya ada pimpinan jiwa suci yang dinamik dan positif yang dialirkan bagi keselamatan, kebahagiaan dan kemuliaan jiwa ruhani dan jasmani rakyat negeri ini. Sesungguhnya niat dan tujuan yang baik ini adalah tugas yang mulia, berat dan payahnya jadi biasa dan selayaknya jadi tugas ahli tasawuf dari zaman berzaman, dari semenjak ahli suffah zaman Rasulullah SAW dahulu itu telah menjadi pendorong yang besar dan kuat kepada umat islam pada menghadapkan jiwa raga dengan penuh taqwa kepada Allah dan meringankan ni’mat dunia dan memberatkan kepada ni’mat akhirat. Maka langkah inilah yang mesti disambung dan dibaharui dalam memikul tugas.

Keperluan Tasawuf Di Zaman ini

Apakah gunanya tasawuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini? Tidakkah akan memathakan semangat usaha dan kerja pembangunan?!

Tasawuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang taswuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat Nabi, sahabat2 dan ulama2 yang haq. Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tak berjasad. Syarak dan hakikat perlu sama maju, masing-masing dalam pembangunan Negara hendaklah mengambil lapangan masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik, jika ada orang yang tak boleh minum susu janganlah ia memburukkan susu, ada orang suka minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak suka teh ; ambillah minuman masing-masing.

Suntingan dari buku Buku Simposium Tariqat dan Tasawuf

No comments:

Post a Comment